Berpagi-pagian orang yang berjaya

Assalamualaykum,

Alhamdulillah. Pagi ni diberi Allah nikmat dan kesempatan untuk mengutip ilmu dari Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Dr Zulkifli alBakri.

Ustaz memulakan kuliah subuh dengan membacakan Surah Muzammil: (1-8) yang  menceritakan seruan untuk bangun sebelum fajr dan menunaikan solat (bertahajjud).


يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ ﴿١ قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا ﴿٢ نِّصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا ﴿٣ أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا ﴿٤ إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا ﴿٥ إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلًا﴿٦ إِنَّ لَكَ فِي النَّهَارِ سَبْحًا طَوِيلًا ﴿٧ وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلًا ﴿٨

Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya; Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.


Nabi menganjurkan kelebihan bermunajat di waktu pagi. Banyak doa2 yang nabi anjurkan utk dibacakan di waktu pagi. Boleh rujuk kitab al Azkar, Maksurat dan sebagainya.

Ustaz menekankan kepentingan berpagi-pagian. Berdasarkan banyak doa2 yang Rasulallah anjurkan di waktu pagi.

Ustaz membawa satu analogi yang menarik tentang keberkatan masa hasil dari menjaga ibadah:

======================
Senario:

Ada sepasang suami isteri, Pak De dan Mak De yang kerjanya menjual nasi lemak di tepi-tepi jalan. Setiap pagi mereka perlu bangun seawal 3 atau 4 pagi untuk menyediakan jualan. Bangun pagi, Pak De dan Mak De akan memulakan dengan ucapan 'Alhamdulillahi llazi ahyana ba' dama amatana wa ilaihinnusyur' sesuai dengan doa yang nabi ajarkan untuk dibacakan selepas bangun dari tidur.

Setelah membersihkan diri, Pak de dan Mak De menunaikan solat sunat, bermunajat kepada Allah. Kemudian memulakan tugas menyiapkan barang jualan. Sebelum azan subuh, barang-barang jualan dimasukkan ke dalam van, lalu Pak De dan Mak De ke masjid. Menunaikan solat sunat subuh 2 rakaat yang nabi janjikan kebaikan lebih dari apa yang ada di langit dan di bumi. Kemudian mereka solat subuh berjemaah. Sesudah solat mereka bersegera ke kepala simpang untuk mula berniaga. Hampir jam 9 pagi, semua nasi lemak habis di jual. Mereka balik ke pasar membeli keperluan untuk jualan keesokan harinya. Kemudiannya mereka bali ke rumah dan merehatkan diri seketika setelah berpagi-pagian tadi.

Ketika matahari mula menampakkan cahaya yang menggigit kulit, mereka bangun menunaikan solat dhuha, pohon keberkatan dari Illahi. Seterusnya Mak De menyediakan hidangan tengahari sementara Pak De mula mengira hasil jualan yang mencecah RM500 sebelum ditolak modal dalam anggaran RM200. Pak De memanjatkan kesyukuran pada Yang Maha Esa di atas kurniaan rezeki. Alhamdulillah.

Setelah makan tengahari, Pak De dan Mak De mula bersiap-siap untuk solat zohor secara berjemaah di surau berhampiran. Selepas solat, Pak De membantu Mak De membersihkan ikan bilis, mereka faham akan konsep halalan thoyyiban untuk dimakan pelanggan. Sempat juga Pak De dan Mak De mentadabbur alQuran bersama-sama. Menjelang Asar, Pak De bergegas ke surau berhampiran untuk solat Asar berjemaah. Sebaik solat, Pak De dan Mak De duduk berbual-bual sambil menjamu kuih jemput yang dibuat Mak De sambil menghirup secawan teh O. Ada kalanya, Pak De ke kedai kopi berhampiran untuk berjumpa kawan-kawan sambil menikmati teh tarik. Mak De pula akan turun ke tanah untuk melihat hasil tanaman.

Menjelang senja, keduanua mula bersiap ke masjid. Berjemaah Maghrib dan Isyak, dan penuhi masa senggang antara keduanya dengan majlis ilmu. Pulang dari masjid, Pak De dan Mak De duduk menikmati makan malam ringan. Sebelum tidur, Pak de dan Mak De sempat membaca surah Al Mulk seperti yang dianjurkan Nabi SAW.

Begitulah rutinnya sehari-hari. Setiap bulan tidak kurang RM2000 di depositkan ke dalam Tabung Haji. Setiap Ramadhan, Pak De dan Mak De mengerjakan umrah. Mengejar alQadr di tempat mustajab doa.

==========

Alangkah indahnya hidup Pak De dan Mak De. Solat jemaah 5 waktu dapat di jaga. Solat malam tidak lupa. Solat dhuha tidak lah alpa. Quran menjadi teman setia. Allahu Akbar.

Bayangkan pula dengan kehidupan kita, yang sehari-hari dihambat sibuk bekerja. Solat berjemaah entah di mana, di awal waktu juga sering terlalai. Gaji RM10K sebulan masih belum mampu menabung. Munajat padaNya juga jarang-jarang. Astaghfirullah.

Kehidupan ini adalah pilihan. Kita tidak perlu jadi Pak De dan Mak De. Hidup lah sebagai kita tapi pasakkan kaki pada amalan mulia. Qiam yang ditungguNya.


Wallahu a'lam.



Comments