Riak zaman Modern

Assalamualaikum,

Dari satu mukabuku yang mengongsikan penulisan yang bertajuk "Riak zaman modern" oleh mynewsvibes.blogspot.com, aku tidak dapat lari dari bersetuju. Ada kebenaran dari pengongsiannya.

Katanya:
1. Update status checked-in di hospital berlatar belakangkan hospital mewah, nak maklumkan sakit walau cuma demam-demam manja. Bimbang terdetik dalam hati nak menunjukkan lokasi dan  kemampuan diri. Kalau berada di GH, tak ada pula yang nak update status. (Komen aku: Betul juga. Atau mungkin kerana yang masuk GH tu sakitnya lebih kritikal. Nak pegang hand phone pun dah tak larat).

2. Update status.. "Alhamdulillah, anak berjaya",  "Alhamdulillah rezeki melimpah", "Alhamdulillah dah sampai ke destinasi percutian" dan pelbagai lagi. Bagus dengan amalan bersyukur. Bimbang yang terdetik di hati adalah "anak aku pandai", "aku berjaya" dan lain-lain lagi. Adalah lebih baik kesyukuran itu hanya dikongsikan dengan Allah SWT yang memberikan nikmat itu. (Komen aku: Lindungilah dari sifat ini. Walau tidak disengajakan tapi mungkin akan ada sedikit lintasan ini. Oleh itu lebih baik mengelak dari melakukannya).

Mungkin semasa memuat naikkan status tersebut kita kata kita tidak bermaksud untuk menunjuk-nunjuk. Tetapi kalau dipamerkan kepada umum, menunjuk-nunjuklah maknanya. Astaghfirullah. Allahu... ampunkan hambaMu yang lemah ini. Seringkali aku tertewas kerana melakukan ini. Ampuni aku dan lindungilah aku agar terpelihara dari melakukannya lagi.

Pernah aku bertanyakan seorang rakan karib kenapa beliau meninggalkan grup whatsap alumni kami. Jawapannya, hatinya merasa semakin sedih kerana merasa kekurangan diri berbanding kawan2 yang lebih gembira dan selesa dimatanya apabila ramai dari kawan2 sering menceritakan kejayaan anak2, memceritakan lawatan luar negara yang sering dikunjungi dan lain2 lagi. Aku jadi terkesima dan insaf dengan jawapan itu. Di saat kita gembira, kita terlupa bahawa ada hati sahabat yang telah kita gores luka semuanya hanya kerana 'riak zaman modern ini'.

Jadi, semoga kita terpelihara dari riak zaman modern ini. Semoga kita terpelihara dari melukakan hati sesama sahabat.

Dalam Al-Quran, Allah swt berfirman yang bermaksud : "Maka celakalah (azab) bagi orang yang sembahyang, yang mereka itu lalai daripada sembahyangnya lagi mereka itu riak." (Surah Al Maun : ayat 4-6)

Dalam Surah Al-Baqarah ayat 264, Allah swt berfirman maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman janganlah kamu batalkan sedekahmu dengan mencerca dan menyakiti seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak manusia." 

Wallahu a'lam.


Comments