Isu lambang salib Kampung Medan dan Alvin Tan

Assalamualaykum,

Blog ini jarang sekali membincangkan isu semasa. Aku lebih suka ianya bersikap santai, yang boleh dijengah kembali pada ketika senggang. Tapi tadabbur aku hari ini amat bertepatan dengan isu yang sedang diperkatakan ketika ini. Isu salib di sebuah gereja di Kg Medan yang telah menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu-Islam di situ. Begitu lantang mereka menentang pemasangan lambang salib di sebuah gereja kerana kononnya bimbang lambang salib tersebut akan dapat menggoyah akidah umat Islam. Bertepatankah tindakan mereka dengan seruan Allah dalam kitab suci kita, Al-Quran??

Surah Al-Kafirun juga menjelaskan mengenai perkara ini: 



قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ ﴿١ لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ ﴿٢ وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ﴿٣ وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ ﴿٤ وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ﴿٥ لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ ﴿٦
Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. "Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. "Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. "Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku".


Telah jelas di sini, orang-orang kafir mempunyai pendirian mereka dengan cara mereka beribadat. Dan kita pula yang mengaku beriman ini tidak akan mudah terpedaya dan mengikut cara mereka beribadat. Maka Allah simpulkan, kamu dengan ugama kamu dan aku (kita, umat Islam) dengan ugama kita. Allah tidak redha mereka dalam kekafiran tetapi Allah tidak pernah meminta kita memusuhi mereka untuk mengamalkan agama mereka.

Dalam tadabburku, surah Al-An'am (108), Allah memberi peringatan kepada kita akibat jika mencerca dan mengganggu agama mereka.


Surah Al-An'am: 108
وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ فَيَسُبُّوا اللَّـهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗكَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿١٠٨

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. demikianlah kami memperelokkan pada pandangan tia-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu is menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. 

Yakinlah dengan kata-kata Allah, dan telah timbul Alvin Tan, si penderhaka negara itu, mempermainkan agama kita dengan mempermainkan laungan azan. Video tersebut telah ditonton oleh ribuan bilamana ianya dimuat naikkan di Internet. Inilah akibat golongan kecil yang tidak mengendahkan amaran Allah, terpalitlah agama, dicerca Alvin Tan dan ditonton ribuan orang. Semoga Allah mengekalkan kita dalam hidayahNya, dan semoga yang mencerca agama Allah ini diberikan hidayah olehNya setelah kalimah azan terbit dari mulut si pencerca tadi.

Wallahu a'lam.

Comments