Tuesday, February 10, 2015

48, 52, 48 FULL STOP

Assalamualaikum.

Kita bercerita tentang nombor-nombor lagi. Nombor-nombor yang sering mengejutkan aku dari lamunan. Itulah angka-angka yang melambangkan usia rakan taulan. Kalau dilihat, kesemua nomnor-nombor itu sudah begitu hampir denganku. Petunjuk Allah agar aku jangan terus lena. Lena mengejar dunia yang fana' ini. Lantas alpa pada kehidupan yang kekal abadi. Akhirat menanti.

Ahad lepas, kami dikejutkan dengan kematian isteri rakan sepejabat. Pada usia 48 tahun dia pergi meninggalkan suami tercinta tanpa sebarang pesan dan isyarat. Dalam santai bersama di dinihari, si isteri tiba-tiba rebah. Setelah ambulan dipanggil, si isteri pergi tanpa kata sebelum tiba di hospital. Tinggal suami. Tinggal dunia. Semua itu sementara.

Selang dua hari berikutnya, berita kematian menerjah lagi. Suami berusia 52 tahun rebah di bilik air. Tanpa kata, tanpa isyarat. Urusan persemadian disegerakan. Tinggallah isteri. Tinggallah anak. Harta dunia tiada dibawa.

Dan terbaru, rakan sekampung pergi pula. Di senja sepi, di usia 48 si suami rebah. Di bawa ke hospital dihabiskan usia. Tinggallah isteri. Tinggallah anak. Damailah sang suami di sana.

Ya Allah.... ampunilah aku. Andai aku masih leka dengan isyaratMu. Andai aku masih mengejar duniaku. Andai aku masih tunduk pada tuntutan nafsuku. Ampunilah aku. Apakah bekalanku untuk ke sana?? Di kehidupan kekal abadi.

Ya Allah .... andai pergiku nanti, doaku agar Kau tetap memelihara anak-anakku. Tetapkanlah mereka kekal tetap di jalanMu. Jalan hambaMu yang Engkau redhai. Lindungilah dan jauhilah mereka dari jalan yang Engkau murkai. Tetapkanlah mereka dalam iman dan taqwa. Ampunkan aku Ya Allah andai aku tersilap langkah. Jika jalan didikanku salah, ampunilah hambaMu ini ya Allah.

Ya Allah... akhirkanlah kalamku dengan  kalimah LA ILAHA ILLALLAH ....

No comments:

Post a Comment