Assalamualaikum...
Tirai 2014 dilabuhkan dengan pelbagai dugaan dan ujian.
Maha Pencipta menguji hambaNya, sejauh manakah kita redha pada ujianNya.
Sejauh manakah kita memberi sekadar ada.
Wang ringgit. Tenaga. Kudrat. Semua dikira.
Allahu Akbar.
Tirai 2014 dilabuhkan dengan dugaan yang dahsyat dengan air bah yang melimpah.
Saudara di Kelantan, Pahang dan Trengganu, Perak dan Kedah diuji.
Air bah yang tidak seperti sebelumnya memuntah laju, meranap segala pusaka yang ada.
Meratakan kampung yang dibina bertradisi yang lalu.
Allahu Akbar.
Ampuni kami. Ampuni kami. Ampuni kami Ya Allah.
Berat mata memandang, berat lagi mahu memikul.
Airmata tidak mampu digenang.
Kita kekenyangan, makankah mereka?
Kita lena, tidurkah mereka?
Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar.
Ampuni kami. Bukan dosa hanya pada mereka. Tapi kami juga.
Bahkan merekalah insan terpilih yang akan dinaikkan darjatnya andai redha dan menerima qadha' dan qadarMu ini.
Ampuni kami. Ampuni kami. Ampuni kami Ya Allah.
~~~~~~
Misi Bantuan Banjir
Sebagai rasa simpati dan tanggungjawab sesama saudara dan insan, Surau Mawaddah Seksyen 7, Shah Alam ini telah memainkan peranan. Bermula dengan seminggu gerak kerja. Mengumpul bahan, mencari penajaan dan akhirnya pengasingan dan pembungkusan, setiap ahli kariah berganding bahu bersama membantu. Indahnya ukhuwwah bila disulam dengan cahaya keimanan.
Tanggal 31 Disember 2014, sekitar jam 11.40 malam, beberapa minit menjelangnya tahun 2015, sebanyak 18 buah pacuan 4 roda 4X4, beserta 3 buah lori telah berlepas ke destinasi terpilih di Manek Urai, Kuala Krai, Kelantan. Diiringi polis peronda sehingga ke tol Gombak, kenderaan melepasi trafik dengan lancarnya. Semoga usaha kecil kami ini dipandang oleh Maha Pemurah, Allah Rabbul Jalil. Semoga menjadi pemberat bagi amal kebaikan ketika dihitung dosa dan pahala.
Ampunilah kami. Ampunilah kami. Ampunilah kami. Ya Allah....
~~~~~
Dalam kesibukan pejabat dan urusan lainnya, aku merenung tarikh 31/12. Apa signifikannya? Terasa terlalu istimewa. Tersenyum sendiri ... inilah tarikh keramat dua insan diikat dengan ikatan tanggungjawab Adam dan Hawa. Yang darinya lahirlah tanggungjawab 3 permata. Semoga Allah berkati ikatan ini. Rahmati keluarga ini. Dan eratkan kasih sayang ini. Semoga kami kekal hingga ke jannah. Ameen.....
Comments
Post a Comment