FB, Blog dan Riak

Salam semua,

Tajuk di atas adalah dirujuk.

Astaghfirullahal adzhim. Aku mulakan dengan memohon keampunan dari Allah SWT, Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Mohon agar aku diampunkan dari sebarang keterlanjuran dan dipelihara hati ini dari sebarang perasaan riak atau bangga diri.

Tajuk di atas merupakan perkara yang benar-benar menganggu fikiranku. Ia menjadikan aku teragak-agak samada ingin meneruskan penulisan pada ruang cyber ini. Ini berikutan dari teguran dari beberapa ustaz agar berhati-hati jika menulis di alam cyber, samada di FB ataupun di blog kerana bimbang apa yang kita tuliskan itu akan menimbulkan ria' dalam hati. Astagfirullahal adzhim.

Memang benar, segala amalan itu dinilai bergantung pada niatnya (berdasarkan hadis sahih yang masyhur, hadis pertama dalam Hadis 40). Tetapi, bagaimanakah kemampuan kita menjaga hati agar tetap pada niat yang ikhlas dan tidak merasa aku lebih baik? Kerana, bilamana ada sekelumit rasa 'aku lebih baik' maka bimbang jatuh ke dalam lembah ria'. Contohnya, aku lebih pandai, aku lebih berjaya, aku lebih kaya, aku lebih hebat, aku lebih tahu, keluarga aku lebih bahagia dan lain-lain lagi. Syaitan sentiasa sahaja ingin memasukkan kita dalam golongan orang yang rugi.

Satu contoh ria' akibat godaan syaitan(tapi bukan di cyber).

Bayangkan ketika kita ingin menunaikan solat sunat di masjid. Syaitan akan berusaha sedaya upaya menggoda supaya kita tidak menunaikan solat tersebut. Tetapi dengan ikhlasnya, kita tetap bangun untuk mendirikan solat tersebut. Allahu Akbar! Takbir diangkat. Ketika itu, adakah syaitan berputus asa? Tidak sama sekali. Syaitan akan terus menggiatkan godaannya. Mungkin digoda supaya kita lalai dalam solat. Ditiupkan dengan berbagai angan-angan dan bayangan ketika solat tersebut. Tetapi kita, dengan bersungguhnya menjaga solat agar sedaya upaya menjadikan solat itu khusyuk. Ketika itu, adakah syaitan berputus asa? Tidak sama sekali. Syaitan akan terus meningkatkan godaannya. Sebaik sahaja kita bagi salam, kita terpandang orang yang disebelah kita yang sedang melipatkan sejadah (dah abis solat la tu), dan kita pun terdetik dalam hati, "Cepatnya dia selesai solat banding aku". Maka dengan sedikit rasa kita lebih baik itu, maka dibimbangi kita termasuk dalam golongan ria'. Astaghfirullah.

Semoga kita sama-sama berusaha untuk menjaga hati kita dari merasa 'lebih baik' dan berhati-hatilah dengan setiap posting kita samada di blog atau FB. Semoga Allah memelihara kita.

Wallahua'lam.

Comments